Tuesday, May 31, 2016

Jangan abai rawatan fisioterapi

Bagi sesetengah orang rawatan fisioterapi merupakan satu aktiviti senaman biasa dan perlu dilakukan pesakit yang dirujuk oleh doktor ke pusat tersebut.

Tidak kurang juga, ada dalam kalangan kita hanya memandang ringan rawatan tersebut, namun hakikatnya fisioterapi adalah satu bentuk rawatan pemulihan penting yang dapat membantu meredakan kesakitan.

Fisioterapi merupakan satu bentuk perkhidmatan kesihatan yang diberi kepada individu untuk memelihara dan memulihkan gerak badan fizikal pesakit secara maksimum.

Dalam erti kata lain, rawatan itu tidak memerlukan sebarang pembedahan dan lebih menjurus kepada usaha memulihkan seseorang menerusi beberapa pendekatan melibatkan 60 peratus aktiviti senaman.

Rawatan fisioterapi juga dilakukan secara manual seperti urutan atau dengan menggunakan pelbagai mesin khas.

Pengelola Pusat Fisioterapi Hospital KPJ Johor, Khazira Abd. Kahar berkata, tidak dinafikan masih ramai yang tidak tahu serta tidak memahami betapa penting rawatan fisioterapi, sekali gus keberkesanannya kepada pesakit.

Malah katanya, masih ramai juga tidak mengetahui bahawa rawatan itu boleh diberi kepada pesakit seawal bayi baru lahir sehingga warga emas yang uzur dalam usaha meningkatkan kualiti hidup mereka.

"Rawatan fisioterapi ini juga dapat membantu pesakit dewasa yang mempunyai komplikasi," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurutnya, kebanyakan hospital di negara ini dilengkapi pusat fisioterapi bagi membolehkan pesakit menjalani proses pemulihan mengikut tempoh yang dicadang doktor atau sehingga pesakit mencapai tahap kemampuan maksimum.

Di pusat rawatan itu, pakar fisioterapi akan menjalankan penilaian dan pemeriksaan, diagnosis, pelan rawatan, penilaian semula dan mengajar pesakit kaedah senaman yang betul.

"Rawatan ini juga merupakan kaedah terbaik dan sistematik bagi menilai fungsi tubuh yang tidak sempurna, antaranya sistem tulang, otot dan sendi, sistem kardiovaskular serta saraf.

"Mereka yang menerima rawatan itu seperti ahli sukan, kecederaan akibat kemalangan, 'slipped disc' dan strok," katanya sambil memberitahu pusat tersebut di Hospital KPJ Johor dibuka sejak 1983 dan dilengkapi dengan peralatan terkini menggunakan kaedah elektroterapi atau terapi manual dan senaman terapeutik.

Khazira berkata, kaedah elektroterapi merangkumi rawatan menggunakan ultrabunyi, mesin tarikan untuk bahagian tulang belakang (traction), rawatan haba dan inframerah, manakala manual pula seperti senaman dan terapeutik.

"Fisioterapi ini seperti satu program pemulihan menerusi cara mengajar dan melatih pesakit teknik yang betul untuk bergerak bagi mengurangkan sakit dan mengajar anggota badan kembali bergerak dan berfungsi seperti sediakala.

"Justeru, saya berharap mereka yang memerlukan fisioterapi supaya tidak mengambil mudah rawatan tersebut kerana dikhuatiri anggota badan yang sakit itu tidak dapat berfungsi seperti biasa jika tidak melakukannya," katanya.

Bagi memastikan fisioterapi difahami fungsi serta peranannya selain memastikan mereka yang memerlukan rawatan tidak mengambil mudah, pihak hospital kini giat memberi kesedaran tentang pentingnya rawatan berkenaan.

Selain menerusi pengedaran risalah, Pusat Fisioterapi Hospital Pakar KPJ Johor turut menawarkan rawatan tersebut di rumah kepada mereka yang memerlukannya.

No comments:

Post a Comment